Tabung Belajar

Pengikut

Khamis, 28 Februari 2013

Bagaimana Memilih Pasangan Tanpa Couple?


Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian di awal perkenalan dengan pasangan masing-masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangkamasa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan-jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K’ diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu “Kenal”, “Kelas”, “Kufu”, “Kasih” dan akhir sekali “Kahwin”.
KENAL 
Kita di suruh kenal/takruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, carilah orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan juga keperibadiannya.
Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Umar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.
“Apakah kamu kenal lelaki ini?” tanya Umar.
“Ya, saya kenal,” jawab lelaki tersebut. Umar bertanya lagi…
“Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?” Lelaki itu menjawab tidak pernah. Umar bertanya lagi,
“Pernahkah kamu bermuamalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya?”
Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya.. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui corak kelakuan sahabat-sahabatnya yang akrab. Adalah berdosa besar jika antara kedua dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.
KELAS
Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa ‘alert’, sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat ‘MEMBINA’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.
KUFU
Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbangkan. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam.
Begitu juga dari segi harta, ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, sukar untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur.
Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yg serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.
KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis……
“Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan.”
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat Islam. Rasulullah bersabda:
“Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu.”
Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga. Sememangnya terdapat “Orang -orang yang benar benar redha dengan pasangan yang ditentukan oleh Allah tetapi pokok pangkalnya banyak terletak pada HATI kaum lelaki”.
Kalau tak berkenan, jangan dipaksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok-pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga.
Hadis Nabi ada menyatakan:
“Barangsiapa yang berkahwin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN , Allah akan menghina keturunanya dan Barangsiapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua-duanya.”
Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. Insyallahperkahwinan akan diberkati dan di lindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.
REDHA
Redha terhadap pasangan masing-masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya:
“Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur-unsur kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dangan pasangan bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka”
“Apa yang di katakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang dimaksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya”
Istilah kufu banyak ditekankan dalam Surah AnNur: Ayat 26:
“Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik.”
Istilah kufu sangat ditekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang.
Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin. Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa. Begitu juga sebaliknya, masalah akan berlaku.
Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti “AKU UBAHLAH PERANGAINYA”. Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk.
Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga….
Sebuah Kisah Yang Perlu Diambil Iktibar
Seorang sahabat, Marsat Bin Abu Marsar Al Ghanawi, seorang pemuda turut berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama Rasulullah saw. Suatu hari Baginda Rasulullah menghantar beliau balik ke Mekah untuk membuat rundingan dengan orang Quraisy, tentang pembebasan beberapa orang Islam yang di tawan.
Sewaktu balik, Marsat bertemu kekasih lamanya, Inaq, seorang wanita yang sangat cantik dan menjadi rebutan. Inaq berjumpa Marsat dan duduk berdua-duaan kerana kedua-duanya sudah lama tidak bertemu. Marsat menolak dengan alasan dia kini berugama Islam sedangkan Inaq masih kafir dan ia membataskan hubungan.
Marsat menyuruh Inaq bersabar dan akan bertanya perihal itu kepada Rasulullah jika diizinkan oleh baginda untuk berbuat demikian. Mendengar kata kata Marsat ini, Inaq terlalu marah sedangkan selama ini dia menjadi rebutan ramai lelaki. Akibat terlampau sakit hati, Inaq telah mengupah kaki pukul Quraisy menyekat Marsat dan membelasahnya dengan teruk. Tetapi kerana cintanya yang mendalam kepada Inaq, beliau bertanya kepada Rasulullah samada beliau boleh berkahwin dengan Inaq.
Maka turunlah Surah Al Baqarah:
“Janganlah kamu berkahwin dengan orang musyrik, kerana sesungguhnya berkahwin dengan hamba mukmin itu lebih baik daripada seorang musyrik walaupun cantik.”

Sabtu, 23 Februari 2013

Saya Sudah Jatuh Cinta. Apa Itu Cinta?

 Cinta adalah fitrah buat manusia. Cinta juga adalah satu anugerah yang amat bernilai dari Allah yang maha esa kepada hambanya. Kerana cinta itu begitu indah dan ia sukar dilafazkan dengan kata-kata, ramai yang cuba membuat kesimpulan apakah makna sebenar cinta.

Amanah Dari Allah

Ya, cinta itu adalah amanah! Bukan nafsu, bukan kehendak dan bukan juga hak yang perlu dituntut. Apabila jatuh cinta kepada seseorang, kita rasa seolah-olah kita memerlukannya. Kita mahu memilikinya, kita mahu dia mendampingi kita dan kita mahu cinta yang kita harapkan itu terbalas. Tidak salah mahu mendampingi orang yang disayangi, tidak salah mahu memiliki hati dan kasih sayang mereka. Namun bukan itu yang lebih utama, kerana orang yang kita cinta belum tentu mencintai kita, orang yang kita suka belum tentu menyukai kita. Jadi dengan rasa cinta yang diamanahkan oleh Allah kepada kita ini, kita hulurkanlah apa saja yang terbaik buat mereka. Jika dapat memikat hatinya, Alhamdulillah. Tetapi jika tidak, usahlah mengungkit dan berdendam.
Cinta itu adalah amanah dan tanggungjawab! Apabila disebutkan sebagai tanggungjawab, ia bermakna kita perlu memberi, namun tidak semestinya menerima. Lindungi mereka, sayangi mereka, kasihi dan berikan yang terbaik kepada mereka,  sentiasa hadir ketika mereka memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan melainkan redha dari pemberi amanah (Allah) semata-mata.
Keikhlasan Yang Menipu
Ada pepatah menyatakan “Cinta itu adalah dua jiwa menjadi satu!”. Lalu sesetengah orang yang cintanya tidak terbalas mula mempersoalkan qada dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya seperti:
Kenapa cinta aku tidak terbalas?
Apa salah aku?
Apa kekurangan aku?
Kenapa dia tidak menerima cinta aku?
Aku sangat ikhlas mencintainya, kenapa dia buat aku begini?
Ramai orang yang bercinta sentiasa mengaku bahawa dirinya ikhlas mencintai seseorang. Namun pada hakikatnya mereka sedang menipu diri sendiri! Apakah sebenarnya maksud ikhlas? Jika sekadar rasa cinta yang jujur kepada seseorang, itu bukan ikhlas.
Ikhlas ialah melakukan sesuatu kerana Allah, tanpa mengharapkan balasan daripada manusia. Tidak nampak keikhlasan seseorang sehinggalah dia disakiti dan apabila dia tidak dapat apa yang diinginkannya.  Mereka berkata bahawa mereka ikhlas dalam bercinta, tetapi apabila ditinggalkan mereka mula mengungkit, mula bercerita satu dunia bahawa keihklasan mereka dikhianati.
Aku ikhlas mencintaimu, namun apakah yang telah kau lakukan kepadaku?
Ayat-ayat seperti ini mula diukirkan dalam hati mereka. Disebut-sebut dan diulang-ulang supaya ramai orang bersimpati dengan mereka. Supaya ramai orang merasakan dirinya benar dan orang yang menolak cintanya itu telah melampau.
Cinta itu adalah amanah. Selain dari amanah untuk menyayangi, merindui dan mengasihi, ia juga merupakan amanah untuk kita sentiasa meredhai apa yang ditentukan oleh Allah yang esa! Tidak kira samada baik ataupun buruk. Tidak kira samada bersatu ataupun berpisah. Tanggungjawab kita ialah mencintai atau menunaikan amanah yang telah dikurniakan oleh Allah semata-mata. Samada orang yang kita cintai itu menerimanya atau tidak itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata.
Kaitan Cinta Dengan Amanah
Mari kita susuli kenapa cinta yang dianugerahkan oleh Allah itu sebenar-sebenarnya adalah amanah:
  1. Kita diwajibkan atau diamanahkan mencintai Allah melebihi segala-galanya dalam dunia ini. Selepas itu kita perlu mencintai Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri sendiri. Samada kita suka atau tidak, kita akur ataupun ingkar, itulah amanah/cinta pertama yang perlu kita lakukan.
  2. Mencintai, menyayangi dan mengasihi ibu bapa juga adalah amanah dari Allah. Kita perlu berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, sentiasa berdoa dan menghormati mereka.
  3. Apabila Allah temukan kita dengan seseorang yang kita cintai, kita bertanggungjawab untuk tidak mengkhianatinya, jaga kehormatannya, khabarkan kepadanya tentang cinta Allah dan tidak mengharapkan sebarang balasan melainkan kehendak untuk bersama (kahwin) demi menunju cinta Allah. Jika tidak dapat bersama kita tidak akan melukakan hatinya dan tidak akan memutuskan tali persahabatan dengannya. Inilah cinta, inilah amanah!
  4. Apabila mencintai wanita/lelaki yang belum halal, kita tidak boleh keluar berdua-duaan dengannya, tidak boleh bermanja-manja, berkasihan seperti pasangan yang telah berkahwin, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh melihat aurat masing-masing. Pergilah melamar dan satukan dengan ikatan perkahwinan, jika tidak dapat bersama, redhalah dengan ketentuan-Nya. Kita telah melakukan tanggungjawab kita, selebihnya bergantung kepada qada dan qadar dari Allah. Ini adalah amanah, ini adalah cinta yang benar!
  5. Mencintai alam semesta. Allah berfirman di dalam Al-Quran “Manusia akan menghancurkan dunia ini dengan tangan-tangan mereka sendiri.” Sebagai manusia kita perlu mencintai alam ciptaan Allah, bukan menghancurkannya. Tetapi sikap rakus manusia yang tidak amanah dalam menjaga alam kurniaan Allah ini telah menghancurkan dunia ini sedikit demi sedikit.
Mari sama-sama kita menghayati makna sebenar cinta. Sesungguhnya cinta yang ditolak bukanlah suatu penyiksaan dari manusia tetapi ujian dari Allah. Kita perlu amanah dalam mencintai diri sendiri, usah biarlah diri hancur dimusnahkan dengan cinta manusia yang bersifat sementara. InsyaAllah..

Khamis, 21 Februari 2013

Bercinta Bukan Bercouple


Cinta adalah fitrah manusia. Kata orang cinta datang tanpa dipaksa. Ia juga pergi tanpa dipinta. Jika benar begitu, bagaimana kita dapat mengawal cinta yang hadir dalam diri? Sebelum ini saya pernah menulis tentang apakah itu cinta. Ia adalah amanah dari Allah. Penjelasan yang panjang lebar boleh di baca di sini.
Ramai manusia percaya bahawa cinta itu adalah sebuah anugerah dan fitrah. Namun tidak ramai yang sanggup menerima bahawa cinta itu adalah amanah dari Allah. Allah sematkan dalam hati kita untuk mencintai seseorang. Dalam masa yang sama juga Allah telah menggariskan peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan kita sebagai hamba. Cinta yang direstui adalah melalui perkahwinan. Cinta yang tidak mengikut garis panduan Islam ialah dengan bercouple.
Cinta itu ialah rasa yang istimewa dalam hati. Bercouple pula ialah perbuatan menzahirkan kasih sayang antara wanita dengan lelaki yang bukan mahram dengan bermesej, berdua-duaan, berkasih sayang dan seumpamanya. Jika itu berlaku, ia bukan lagi cinta sejati, tetapi cinta yang telah dikotori hawa nafsu.
Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa dirinya ke kancah maksiat. Tidak sanggup membuatkan dirinya bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan cinta seorang non-muslim. Cinta kita di batasi syarak. Cinta mereka tiada batasan melainkan meluahkannya semata-mata. Oleh itu cinta kita perlukan pengorbanan, bukan sekadar merasai nikmat bercinta.
Apabila kita menyukai seseorang, kita dibenarkan untuk mengenalinya dengan ta’aruf. Samada lelaki atau perempuan, masing-masing boleh berkenalan. Boleh sms jika perlu untuk mengenali hati dan budi bicara masing-masing. Namun bukan bercouple. Selepas kita saling menyukai antara satu sama lain, teruskan ikatan dengan bertunang. Bertunang itu ringkas. Cukup sekadar lelaki bertanya dan wanita bersetuju untuk dijadikan sebagai isteri. Maka sahlah wanita dan lelaki itu sebagai pasangan tunang. Tidak perlu persetujuan ibu bapa, tidak perlu rombongan dan sebarang hantaran. Itu semua sekadar adat Melayu.
Bertunang itu penting kerana dalam tempoh itu, tiada lelaki lain boleh mengganggu atau merisik untuk mengenali pasangan kita. Dalam Islam memikat atau melamar tunang orang hukumnya adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan berlaku istilah rampas kekasih orang.
Jaga batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu. Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenalpasti hukum halal haram dan mempunyai kekuatan untuk menegur.
Setelah melalui tempoh bertunang, tentukan samada kita dengan si dia sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai teruskan kepada perkahwinan. Jika tidak putuskan tali pertunangan itu dengan baik. Tiada istilah malu apabila berputus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu pada orang ramai. Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan cik kiah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.
Sabda Nabi s.a.w: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)
Bertunang itu adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus maka akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang tahu maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.
Penerangan di atas berlaku jika kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang. Bagaimanapun jika salah seorang tidak bersetuju, kita dibenarkan untuk terus berusaha memikat hatinya tetapi jangan melampau. Cukuplah sekadar 2-3 kali percubaan bertanya samada tanya sendiri kepadanya atau kepada orang tuanya, atau meminta bantuan orang ketiga untuk berbuat demikian. Jika berterusan ditolak, maka abaikanlah saja si dia. Itulah perngorbanan kita dalam bercinta.
Andai benar kita mencintainya, cukuplah sekadar melihat si dia bahagia dari terseksa mengikut kehendak hati kita. Mencintai seseorang tidak bermakna kita turut akan dicintainya. Mencintainya juga tidak menjamin bahawa kita akan memilikinya. Bahkan ramai pasangan suami isteri yang telah berkahwin atas dasar saling mencintai juga tidak dapat mengekalkan perkahwinan mereka sehingga akhir hayat kerana tiada kesefahaman. Perkahwinan mereka diakhiri dengan perceraian.
Oleh itu usahlah bersedih dan bermuram durja terlalu lama setelah cinta ditolak. Mulakanlah langkah untuk mencari cinta dengan insan lain. Pencarian itu biarlah kerana kita ingin berkahwin dengannya. Bukan sekadar bercouple dan berkasih-kasih semata-mata. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses yang dinyatakan di atas. Taaruf, bertunang dan teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk berkahwin, maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti bercouple. Kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri pahala.
Bercinta bukan bercouple…

Rabu, 20 Februari 2013

JaNgAN UnGkIt bALik


Jam menunjukkan jam 2.30 am.. Masih terngiang2 apa yang mereka cakapkan  petang tadi…
Jangan ungkit balik kisah lama wahai kawan2ku semua...

 Semua dah berlalu dan aku tak mahu ingat mahupun kenang kembali peristiwa yang menyanyat hati tuh sangat

Hati siapa yang tak sedih bila diperlakukan sedemikian.
Aku paling tak suka orang ungkit nih.. pantang bebenor.. hahahaha…
Tapi takpa bukan hak kita untuk menghalang dan hak sesiapa pun nan buat apa-apa pun…

Kalau Tanya sama pokok apa sebab goyang…
Kalau Tanya sama hati memang sedih tapi aku redha. Semua dah berlalu..
Namun… bukan mudah nak terima kembali..
Macam kata2 yang aku pernah baca dan dengar…


Bukan senang nak terima balik apa orang buat kat kita..
nak2 kalau sesuatu yang buruk yang beri kesan kat diri kita sendiri, mental mahupun fizikal....

Aku tak mampu nak maafkan mahupun terima balik or beri peluang...
Bukan senang nak lupakan peristiwa pahit dalam hidup kita
dan
bukan senang kita nak maafkan or mintak maaf dengan orang kalau kita rasa 
perkara tu bukan kita yang mulakan...

Kalau nak berbaik tapi nak kita mintak maaf...uhuk7x..
salah tu..

Memang tak dinafikan orang yang memulakan monon maaf or maaf lebih mulia
tapi
aku tak mampu wahai kawan2 ku sekalian...

Jangan paksa aku berbuat sedemikian
sebab
tiada guna kalau mohon maaf or mintak maaf 
kalau hati kita tak ikhlas...
Betul tak kawan2ku sekalian...

Sabar pun ada hadnya..
hahaha Y_Y ....hadeh..
Aku hanya insan yang lemah..
ada banyak kekurang dan kelemahan...
Kalau ada yang salah tegur2lah...
tapi please jangan ungkit balik kisah lama...

Bukan marah tapi mintak tolong
hahaha....
i can't.. perlu masa yang panjang utk semua itu..
(^___^)

"La yukalli fullahu nafsan illa wus’aha” - Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (Surah Al-Baqarah ayat 286). beruntunglah bagi manusia yang diuji itu, maknanya Allah sangat sayangkan dirinya. Masa tu la kita dapat mengukur sejauh mana keimanan kita. Sabar itu separuh daripada iman. moga Allah mempermudahkan segalanya,,Amin





Isnin, 18 Februari 2013

Wanita Dan Lelaki Yang Baik Itu Sebenarnya Untuk Siapa?


Ramai di antara kita tahu tentang sebuah firman Allah yang menyatakan bahawa wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah ini boleh ditemui dalam surah an-Nur ayat 26 yang bermaksud:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik…..”
Dengan ini ramai di antara kita menggunakan ayat ini untuk menyatakan tentang hal-hal berkaitan jodoh. Tetapi ada sesetengah di antara kita kurang jelas dengan maksud ayat ini kerana pada pandangan mereka, ramai pasangan yang mereka temui tidak selalunya demikian. Ada lelaki yang baik tetapi berkahwin dengan perempuan yang derhaka. Ada juga perempuan yang baik tetapi si suami begitu zalim.
Untuk menjelas hal ini kita perlu memahami maksud sebenar ayat di atas. Ayat itu perlu dibaca sampai habis. Kita perlu tahu bahawa ayat di atas sebenarnya diturunkan bersempena peristiwa ‘Al-Ifki’, iaitu ketika Sayyidatina Aisyah r.a difitnah oleh puak-puak munafik di Madinah bahawa beliau telah melakukan perbuatan curang dengan seorang sahabat yang baik bernama Sofwan bin Mu’attol.
Allah s.w.t. mempertahankan kesucian Aisyah r.a. dengan menegaskan bahawa jika benar-benar Aisyah itu jahat, beliau tidak akan didampingi orang yang baik-baik seperti Nabi Muhammad s.a.w. sendiri. Bahkan Rasulullah amat menyayangi Aisyah.
Pengajaran yang kita dapat ambil dari ayat ini adalah hubungan baik seseorang itu bergantung kepada sikapnya sendiri. Jika dia seorang yang baik, mustahil dia akan bergaul dengan orang yang jahat dan begitulah sebaliknya. Seperti juga hubungan suami isteri. Wanita yang baik tidak akan bersama dengan suami yang jahat. Seandainya mereka telah dijodohkan bersama, mereka tetap tidak akan dapat bersatu. Sebab itu dalam Islam sendiri perceraian adalah perkara yang halal. Bukan haram. Meskipun begitu, ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah.
Ini bukan bermaksud kita tidak boleh mengambil jalan terakhir untuk bercerai, tetapi seandainya kita boleh berusaha mengubah pasangan menjadi lebih baik, bersabar dan bertawakkal kepada Allah, maka hendaklah kita berusaha terlebih dahulu. Namun jika tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana sifat isteri yang sering derhaka atau suami yang terlalu zalim, maka bercerai adalah langkah yang jauh lebih baik dari membiarkan diri terseksa dan rumah tangga yang dipenuhi kemurkaan. Kerana tidak mungkin seorang yang baik itu akan bersama dengan seorang yang jahat. Inilah maksud yang kita perlu fahami.
Selain itu kita juga perlu jelas bahawa orang yang baik-baik jarang sekali mengaku dirinya baik. Memang kita semua akui bahawa kita mahu mencari yang terbaik sebagai pasangan hidup kita. Namun sekiranya kita adalah seorang yang berilmu, kita tidak seharusnya memandang hina pada orang yang kurang bernasib baik seperti kita. Jika  kita manusia yang alim, maka membimbing dan mentarbiah pasangan adalah tanggungjawab kita.
Saya hairan dengan sesetengah sikap manusia yang merasakan dirinya baik, punyai keluarga yang beragama tetapi memandang hina insan lain. Bagi mereka orang-orang yang tidak berlatarbelakang agama dan hidup dengan penuh sosial itu begitu hina dan tidak layak untuk mendampingi mereka. Perkara ini benar jika orang-orang itu tidak mahu berubah ke arah kebaikan dan ingin mengheret kita ke jalan maksiat. Tetapi tidak jika mereka mahu berubah, mereka ingin belajar tentang Islam dan ingin kembali kepada Allah. Mereka perlu diberi peluang untuk bersama kita menghayati keindahan Islam.
Namun sikap sesetengah manusia yang merasakan dirinya alim ini begitu mementingkan diri sendiri. Mereka mengabaikan manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Ada yang menjauhkan diri dari mereka, malah tidak kurang juga yang menghina. Tidak hairanlah diakhirat esok terdapat 3 golongan yang apabila mereka dicampakkan ke dalam neraka, ahli neraka sendiri akan merasa hairan. Kerana 3 golongan ini kelihatan begitu alim sewaktu hidupnya tetapi siapa tahu, hatinya kotor!
Untuk mendapatkan yang terbaik, biarlah kita sendiri yang mengubah sikap menjadi yang terbaik. Sesiapa sahaja yang kita dampingi, samada baik atau jahat, kita mungkin tidak akan tahu. Elakkan diri dari memilih orang yang tidak sepatutnya namun elakkan juga dari bersangka buruk dan menghina orang lain. Kita diberikan akal untuk berfikir, maka buatlah pilihan yang baik.
Harus diingat, wanita semulia Asiah sendiri dijodohkan dengan Firaun yang begitu zalim. Seandainya kita ini sebaik dan semulia Asiah, kita juga masih belum layak untuk mengakui bahawa kita hanya layak menerima pasangan yang baik. Namun sebagai hamba yang disayangi-Nya, Allah tidak akan sesekali menzalimi kita.
Sebaik atau sejahat manapun pasangan yang kita terima setakat ini, itulah yang terbaik buat kita. Allah tidak pernah salah dalam aturannya. Namun untuk mencari yang lebih baik, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas dalam ajarannya. Kita hanya perlu belajar dan mula mengamalkanny

Sabtu, 16 Februari 2013

Cinta Bukan Untukku!


Ada orang khuatir untuk bercinta kerana bimbang akan mengecewakan orang. Ada juga sesetengah orang menganggap keturunannya suatu yang memalukan sehingga takut untuk bercinta. Terpaksa memendam rasa meskipun menyukai seseorang. Terpaksa berdiam diri walau tahu orang itu juga menyukainya. Sehingga ada orang merasakan dirinya langsung tidak layak dicintai orang lain dan dirinya juga tidak layak untuk mencintai orang lain?
Mungkin kita rasa yang mereka tidak seharusnya berfikiran seperti itu. Mereka perlu berfikiran positif. Tentu ada orang yang boleh menerima mereka, tentu ada orang yang boleh mencintai mereka. Mereka perlu berani. Mereka perlu berusaha dan percaya kepada diri sendiri.
Sebenarnya itulah yang mereka lakukan selama ini. Itulah yang mereka usahakan selama ini. Tetapi kepercayaan mereka dimusnahkan, keyakinan mereka diingkari dan cinta mereka ditolak seolah-olah mereka merupakan makhluk hina yang tidak memiliki hati dan perasaan!
Ini adalah gambaran sebenar apa yang terjadi kepada mereka sebelum mereka berfikir seperti mana yang sedang mereka fikirkan sekarang. Kes seperti ini pernah dialami oleh beberapa orang sahabat saya. Pernah seorang lelaki mencintai seorang wanita. Mereka sama-sama suka dan keduanya memiliki akhlak yang baik. Bagaimanapun kisah cinta mereka tidak lama. Setelah mengetahui tentang keturunan si gadis, lelaki itu terus menolak dan tidak mahu berjumpa dengan si gadis itu lagi.
Perbuatannya menyababkan gadis itu sentiasa menangis dan bersedih. Apakah salah dirinya? Apakah kehinaan yang ada pada dirinya? Kenapa seorang lelaki yang kelihatan baik hati dan begitu menyayanginya pun pergi meninggalkannya? Siapa lagi yang boleh menerimanya? Perlukah dia mempercayai orang lain lagi?
Apabila hal ini diceritakan kepada saya saya hanya berkata. “Bersyukurlah, Allah tunjukkan dari awal bahawa lelaki itu bukanlah lelaki yang baik! Dia tidak perlu rasa kecewa dengan diri sendiri. InsyaAllah akan ada orang yang boleh menerimanya. “. Namun komen saya dibalas begini “Cakap memanglah senang. Hati orang yang sudah kecewa, macam mana mahu diubati lagi?”
Entahlah…Kadang-kadang saya kecewa dengan sikap masyarakat yang memandang hina keturunan orang.  Jika benar keturunannya hina, yang hina itu hanya keturunan, bukan individu itu sendiri. Banyak lagi faktor lain yang menjadi sebab kenapa seseorang itu dianggap hina di mata masyarakat sedangkan perkara itu bukanlah salah mereka. Tidak hairanlah mereka akhirnya merasa bahawa mereka tidak layak untuk mencintai orang mahupun dicintai orang.
Kerana sikap masyarakat terlalu zalim terhadap kehormatan mereka. Sebagai seorang individu yang sedar akan hal ini saya ingin memberi sedikit kata-kata hikmah yang mungkin dapat memberikan mereka secebis harapan.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara;
1. kerana hartanya
2. kerana keturunannya
3. kerana kecantikannya
4. kerana agamanya.
Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” -Hadith Riwayat Imam Bukhari & Muslim
Hadis ini menjelaskan bahawa seorang wanita itu dinikahi oleh seorang lelaki kerana 4 perkara iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan dan juga kerana agamanya. Maka Rasulullah menyuruh kita mengutamakan wanita yang memiliki agama yang baik. Tidak diutamakan berapakah hartanya, siapakah keturunannya atau sejauhmana kecantikannya.
Oleh itu wahai wanita, jagalah agamamu. Peliharakanlah dirimu dari fitnah dunia dan abaikan hal-hal yang tiada kaitan dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Usah terlalu difikirkan tentang keturunan, harta dan kecantikan (bukan salah menjaga tetapi bukan itu yang utama)! Sedarlah kamu bahawa lelaki yang baik akan menilai dan mencarimu berdasarkan agamamu. Bukan kerana faktor-faktor lain yang hanya semantara.
Buat diriku dan kaum sejenisku iaitu para lelaki yang dihormati dan dijanjikan Allah sebagai manusia yang bergelar pemimpin, jika diri kita dari keturunan yang hina, itu bukanlah apa-apa di hadapan Allah.  Yang hina mungkin adalah keturunan, yang mulia adalah diri kita yang melakukan amalan soleh. Jika kita tidak berharta, ketahuilah bahawa harta boleh dicari. Apa yang lebih penting ialah kita perlu memiliki ilmu. Jika kita tidak memiliki rupa paras yang baik, ketahuilah bahawa ada orang lain yang jauh lebih teruk rupanya daripada kita. Bersyukurlah..
Usah bersedih dan kecewa dengan ujian. Terus berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Allah tidak benci kepada orang yang tidak dikurniakan kebahagiaan sebagaimana kita yang tidak dapat memiliki cinta, tetapi Allah amat murka kepada orang yang hilang kepercayaan dan pergantungan kepada-Nya.
Jika seandainya kita seorang wanita atau lelaki yang soleh tetapi tidak juga dapat memiliki cinta seorang insan bergelar kekasih samada dari seorang suami ataupun isteri, ketahuilah Allah sudah menyediakan suami dan isteri di syurga untuk menemani kita seumur hidup! InsyaAllah…

Jumaat, 15 Februari 2013

Bukan DENdAm



Bukan dendam.....
Tidak pernah terniat dihati untuk bersifat dendam..
nehi babuji kia kertehu..hehehe
Tak elok menyimpan dendam, semuanya memberi kesan pada diri kita sendiri.
:-(
Aku sendiri pun tak pernah menyimpan dendam..
orang kata kalo kita simpan apa yang ada dalam hati kita
lama kelamaan akan jadi dendam..
Tapi bagi aku kata-kata tu tak betul...
Itu lah sifat seorang pendiam macam aku ni..hehehe.

Aku lebih selesa dan lebih suka simpan apa yang ada kat hati aku ni..hehehe
Simpan tak beerti dendam tapi yang simpan pun takkan kekal lama..
Lama-lama ia akan hilang..

hahaha.. aku suka simpan dan kumpul setem, duit lama2.. n soon..
becoz semua tu ada nilai sendiri...

I just "need more space" 
semuanya perlu masa...
Semuanya hilang dan dilupakan mengikut masa...



Cakap senang tapi untuk melakukannya bukan mudah.
Bukan mudah nak memaafkan orang dan bukan mudah nak mintak maaf jika kita rasa bukan kita yang salah.
Dan semua ni tak beereti dendam.

"I dont want to see u"
please...please and please.
i need more time

Satu peristiwa sudah cukup mematahkan hati...
Aku tak mahu ia berulang...
sebab aku rasa aku tak boleh nak menghadapinya...
Namun semuanya ujian untuk aku menjadi lebih sabar dan tabah.

"Patah hatiku...
 membawa derita...
merajuklah diri...
merajuk diri...
merajuk diri tak tentu haluan.

Hancur hatiku..
di dalam nestapa...
mengenangkan nasib...
mengenang nasib diriku malang..."
(my favaourite song)




Aku takut jika peristiwa itu berulang.. mohon buat sahabat ..
please.. dengarlah rayuan hatiku..
mohon jangan....
( dengan hati yang penuh mengharap)

P/s: ku akui sukarnya nak mengawal keadaan ..namun lagi sukar nak mengawal hati..
kesukaran buat aku untuk mengawal sesuatu yang ...
selepas peristiwa tu aku jadi lebih sensitif..
hahaha itu yang aku perasaan..
belajar kawal emosi..
sabar...


Rabu, 13 Februari 2013

Tiada Jodoh Bukan Kehendak Kita.


Tiada jodoh bukan kehendak kita. Tiada jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Belum tiba masanya lagi. Ibarat menanti jambatan untuk ke seberang (bukan lombok ok). Panjang jambatannya maka jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat.
Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Rasanya 25 tahun masih tidak bersedia untuk menjalani kehidupan berkeluarga, namun Allah SWT yang menetukan jodoh kita. Dan usia 20-30 dimana sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. usia 27 mungkin tidak terlalu lewat jika dikatakan sesuai untuk menjalani sebuah kehidupan berkeluarga. Nyatakanlah perasaan dan keinginan kita itu dalam doa. Allah mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya..... Namun jodoh itu bukan kita yang tentukan. Terima seadanya.
Biar lambat jodoh asalkan mendapat ‘Right Person’ dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki/perempuan yang tidak beriman kemudian nanti.Namun semua itu bergantung kepada diri kita sendiri. insan yang baik sudah tentu mempunyai jodoh yang baik. (^_^)  Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat "dia" Namun, hakikatnya, kehidupan kita ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Kita fikir sudah mendapat insan yang terbaik namun kita tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Ya dia jodoh kita tapi belum tentu kebahagiaan itu datang bergolek. Kita harus tabah dan sabar menempuhnya. InsyaAllah kebahagiaan itu milik kita. berdoalah untuk yang terbaik. 
Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.hahaha. berbeza dengan orang yang memandu kereta yang kelihatan buruk dan berpakaian kurang kemas yang mendapat harga yang murah. Terimalah seadanya, syukur atas apa yang dikurniakan. "Aku redha atas ketentuan-MU ya Allah dan syukur atas apa yang dikurniakan".
Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar² membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya. Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia menjadi sebaliknya bila ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.
Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing² padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar suami atau isteri tidak usah berkahwin dulu.
Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.
Jika rasa² belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak², carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar² mengerti tuntutannya.
Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus² bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia²nya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan.
Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka laluan²nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. “
Seorang teman pernah berpesan..
“Kadang² Allah sembunyikan matahari..
Dia datangkan petir dan kilat..
kita menangis dan tertanya-tanya,
kemana hilangnya sinar..
Rupa²nya.. Allah nak hadiahkan kita pelangi..” ”
Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi adanya imbas kembali.
Hati yang remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi.
Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada..
Parut yang lama pastikan sembuh selagi iman terselit didada…”
Semoga mendapat jodoh yang diidamkan dan dirahmati Allah, amin…

~buat sahabatku sekalian semoga bertemu jodoh yang baik. :-) ..
~jadilah insan yang terbaik untuk jodoh yang baik.
~ moga menjadi suami dan isteri , anak, ibu dan bapa yang soleh dan solehah
~setia sehingga hujung nyawa.