Tabung Belajar

Pengikut

Khamis, 21 Februari 2013

Bercinta Bukan Bercouple


Cinta adalah fitrah manusia. Kata orang cinta datang tanpa dipaksa. Ia juga pergi tanpa dipinta. Jika benar begitu, bagaimana kita dapat mengawal cinta yang hadir dalam diri? Sebelum ini saya pernah menulis tentang apakah itu cinta. Ia adalah amanah dari Allah. Penjelasan yang panjang lebar boleh di baca di sini.
Ramai manusia percaya bahawa cinta itu adalah sebuah anugerah dan fitrah. Namun tidak ramai yang sanggup menerima bahawa cinta itu adalah amanah dari Allah. Allah sematkan dalam hati kita untuk mencintai seseorang. Dalam masa yang sama juga Allah telah menggariskan peraturan-peraturan yang sesuai dengan kehidupan kita sebagai hamba. Cinta yang direstui adalah melalui perkahwinan. Cinta yang tidak mengikut garis panduan Islam ialah dengan bercouple.
Cinta itu ialah rasa yang istimewa dalam hati. Bercouple pula ialah perbuatan menzahirkan kasih sayang antara wanita dengan lelaki yang bukan mahram dengan bermesej, berdua-duaan, berkasih sayang dan seumpamanya. Jika itu berlaku, ia bukan lagi cinta sejati, tetapi cinta yang telah dikotori hawa nafsu.
Apabila kita mencintai seseorang, kita tidak akan tergamak membawa dirinya ke kancah maksiat. Tidak sanggup membuatkan dirinya bergelumang dengan dosa. Sebagai seorang muslim, cinta kita tidak sama dengan cinta seorang non-muslim. Cinta kita di batasi syarak. Cinta mereka tiada batasan melainkan meluahkannya semata-mata. Oleh itu cinta kita perlukan pengorbanan, bukan sekadar merasai nikmat bercinta.
Apabila kita menyukai seseorang, kita dibenarkan untuk mengenalinya dengan ta’aruf. Samada lelaki atau perempuan, masing-masing boleh berkenalan. Boleh sms jika perlu untuk mengenali hati dan budi bicara masing-masing. Namun bukan bercouple. Selepas kita saling menyukai antara satu sama lain, teruskan ikatan dengan bertunang. Bertunang itu ringkas. Cukup sekadar lelaki bertanya dan wanita bersetuju untuk dijadikan sebagai isteri. Maka sahlah wanita dan lelaki itu sebagai pasangan tunang. Tidak perlu persetujuan ibu bapa, tidak perlu rombongan dan sebarang hantaran. Itu semua sekadar adat Melayu.
Bertunang itu penting kerana dalam tempoh itu, tiada lelaki lain boleh mengganggu atau merisik untuk mengenali pasangan kita. Dalam Islam memikat atau melamar tunang orang hukumnya adalah haram. Andainya semua umat Islam faham akan hal ini, maka tidak akan berlaku istilah rampas kekasih orang.
Jaga batasan-batasan pergaulan ketika bertunang. Jika mahu keluar bersama, bawa sekali seorang mahram seperti adik atau abang kepada perempuan itu. Membawa budak kecil bersama tidak dikira sebagai membawa mahram. Mahram yang dimaksudkan ialah seorang yang waras, boleh mengenalpasti hukum halal haram dan mempunyai kekuatan untuk menegur.
Setelah melalui tempoh bertunang, tentukan samada kita dengan si dia sesuai bersama atau tidak. Jika sesuai teruskan kepada perkahwinan. Jika tidak putuskan tali pertunangan itu dengan baik. Tiada istilah malu apabila berputus tunang. Islam sudah menganjurkan kepada kita bahawa semasa bertunang, usah dikhabarkan hal pertunangan kita itu pada orang ramai. Bertunang itu lebih baik dibuat secara diam-diam. Bukan dengan rombongan cik kiah yang masyarakat Melayu amalkan sekarang.
Sabda Nabi s.a.w: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)
Bertunang itu adalah ikatan pengenalan, bukan kepastian. Hubungannya boleh diteruskan dan boleh juga diputuskan. Jika ramai yang mengetahui dan ikatan itu putus maka akan membawa malu besar kepada diri sendiri dan keluarga. Jika tiada orang tahu maka perkara seumpama itu tidak akan berlaku. Aturan Islam itu sangat mudah dan indah. Cuma kita sahaja yang kurang memahaminya.
Penerangan di atas berlaku jika kedua-dua pihak bersetuju untuk bertunang. Bagaimanapun jika salah seorang tidak bersetuju, kita dibenarkan untuk terus berusaha memikat hatinya tetapi jangan melampau. Cukuplah sekadar 2-3 kali percubaan bertanya samada tanya sendiri kepadanya atau kepada orang tuanya, atau meminta bantuan orang ketiga untuk berbuat demikian. Jika berterusan ditolak, maka abaikanlah saja si dia. Itulah perngorbanan kita dalam bercinta.
Andai benar kita mencintainya, cukuplah sekadar melihat si dia bahagia dari terseksa mengikut kehendak hati kita. Mencintai seseorang tidak bermakna kita turut akan dicintainya. Mencintainya juga tidak menjamin bahawa kita akan memilikinya. Bahkan ramai pasangan suami isteri yang telah berkahwin atas dasar saling mencintai juga tidak dapat mengekalkan perkahwinan mereka sehingga akhir hayat kerana tiada kesefahaman. Perkahwinan mereka diakhiri dengan perceraian.
Oleh itu usahlah bersedih dan bermuram durja terlalu lama setelah cinta ditolak. Mulakanlah langkah untuk mencari cinta dengan insan lain. Pencarian itu biarlah kerana kita ingin berkahwin dengannya. Bukan sekadar bercouple dan berkasih-kasih semata-mata. Maksud ingin berkahwin yang saya nyatakan ini adalah seperti proses yang dinyatakan di atas. Taaruf, bertunang dan teruskan kepada perkahwinan. Jika belum bersedia untuk berkahwin, maka usahlah melibatkan diri dalam hal-hal percintaan seperti bercouple. Kerana ia hanya akan mengundang dosa dari menghampiri pahala.
Bercinta bukan bercouple…

2 ulasan:

  1. salam..
    pkongsia yg bgus..
    kadang2 kita kita bcinta bgai nak rak.. tpi kalu dah tertlis x de jodoh.. x leh wat mcm mna..
    kdng2 org yg bru kita jmpa tu la jodoh kita..
    smuanya tlah drncng.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jodoh kita dah ditentukan.. InsyaAllah.. suatu hari nanti kita akan jumpa jodoh yang terbaik

      Padam