SAKARATUL MAUT,KHABAR SUKA,DUKA DAN 7 ROMBONGAN
SYAITAN.
Dari Ubaidah bin Ash Shamit ra. dari Nabi SAW,
baginda bersabda :
"Barang siapa yang senang untuk bertemu
dengan Allah, maka Allah senang untuk bertemu dengannya, dan barang siapa yang
benci untuk bertemu dengan-Nya (Allah), maka Allah benci untuk bertemu
dengannya". Aisyah atau sebahagian isteri baginda berkata :
"Sesungguhnya kami tidak senang kematian".
Baginda bersabda : "Bukan begitu, tetapi
seorang mukmin apabila kedatangan maut (mati) diberi khabar gembira dengan
keredaan dan kemurahan Allah, sehingga tidak ada sesuatu yang lebih disukai
dari pada apa yang dihadapinya, maka ia senang bertemu dengan Allah dan Allah
senang bertemu dengannya. Dan sesungguhnya orang-orang kafir, apabila kedatangan
maut diberi khabar gembira dengan azab dan seksaan Allah, maka tidak ada
sesuatu yang lebih dibenci dari pada apa yang dihadapinya. Ia tidak senang
bertemu dengan Allah dan Allah tidak senang bertemu dengannya". (Hadis
Riwayat Bukhari) - Hadis Qudsi.
Huraiannya :
Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita
bahawa di saat kematian seseorang mukmin yang beriman dan bertakwa akan
diberikan khabar gembira dengan keredaan dan kemurahan Allah SWT akan
dinampakkan tempat duduknya di akhirat nanti. Dia akan merasai senang, gembira
dan berbahagia dan tidak sabar-sabar untuk bertemu Allah SWT dan Allah SWT juga
senang dan suka bertemu dengannya.
Sebaliknya pula orang-orang kafir apabila
kedatangan maut dan diberikan berita bahawa dia akan diazab oleh Allah SWT
kerana derhaka dan syirik kepada Allah SWT maka dia merasai tidak tenang, benci
dan takut akan menghadapi saat kematiannya untuk bertemu Allah SWT. Allah SWT
juga tidak suka bertemu dengannya.
Allah SWT berfirman betapa sukarnya sakaratul
maut itu:
ُ وَلَوْ تَرَى إِذِ الظَّالِمُونَ فِي غَمَرَاتِ الْمَوْتِ وَالْمَلآئِكَةُ بَاسِطُواْ أَيْدِيهِمْ أَخْرِجُواْ أَنفُسَكُمُ الْيَوْمَ تُجْزَوْنَ عَذَابَ الْهُونِ بِمَا كُنتُمْ تَقُولُونَ عَلَى اللّهِ غَيْرَ الْحَقِّ وَكُنتُمْ عَنْ آيَاتِهِ تَسْتَكْبِرُو
Maksudnya : "Alangkah dahsyatnya sekiranya
kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakaratul
maut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya, (sambil berkata),
'Keluar-kanlah nyawamu". (Surah Al-An'am ayat 93).
Begitulah bagaiman maut itu menjemput orang
zalim. Seperti kulit terkelupas secara pelan-pelan dari ujung kaki hingga
kepala.
Syekh Abdul Wahhab al-Sya’rani mengatakan, saat
kata-kata kematian dan sakatul maut itu disebut, para salafu soleh bergetar
hatinya, bulu romanya berdiri membayangkan bagaiman hal itu akan terjadi pada
dirinya suatu saat nanti. Titisan air mata langsung jatuh dari dua matanya,
memohon kepada Allah agar mengakhirkannya dengan khusnul khatimah dan
dimudahkan dalam sakaratul maut.
Sahabat yang dimuliakan,
Dalam hadis Nabi SAW yang lain menyatakan iblis
akan datang kepada setiap anak Adam yang sedang menghadapi sakratul maut .
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Ya Allah aku
berlindung kepada Engkau dari tipuan syaitan diwaktu sakaratul maut. “
Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, mulai
dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hingga ke
akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu
ketika sakaratul maut.
Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut
disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Rombongan 1
Akan datang Iblis dengan berbagai rupa aneh
seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang
lazat-lazat. disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya
sangat tamak dan haloba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan
disentuhnya barang-barang Iblis itu, pada waktu itu nyawanya putus dari tubuh.
Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa
kepada Allah SWT inilah jenis mati su'ul khatimah, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Iblis kepada orang yang didalam
sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti,
harimau, singa, ular yang berbisa. Yang apabila orang yang sedang sakaratul
maut itu memandang ke binatang itu, maka dia pun menjerit dan melompat sekuat
hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu
dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam
keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya adalah su'ul khatimah dan ke nerakalah
tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan
orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan menyerupai binatang
kesayangannya.
Apabila tangan orang yang hendak mati itu
meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia
pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah
SWT. Matinya itu su'ul khatimah maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa
yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya
dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya
untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu.
Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah
ia sebagai dalam keadaan su'ul khatimah dan nerakalah tempatnya.
Rombongan 5
Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa
sanak-saudara yang hendak mati itu, seperti ayah ibunya dengan membawa makanan
dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat
mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk
mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai
oleh Iblis, berkata dengan penuh kasih.
“Wahai anakku inilah saja makanan dan bekal yang
kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan
menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah
bersama kami masuk ke dalam syurga. “
Maka dia pun sudi mengikut tawaran itu dengan
tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di
dalam keadaan kafir, kekal di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan
semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai
ulama-ulama yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku,
lama sudah kami menunggu akan dikau, ternyata kamu sedang sakit di sini, kerana
itu kami bawakan kepada kamu doktor dan ubat untukmu. “ Lalu diminumnya ubat,
itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang lagi.
Lalu datang pula Iblis yang menyerupai ulama
dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu
mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut:
“Aku tidak tahu. “
Berkata ulama Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah
seorang ulama yang tinggi dan hebat, baru saja kembali dari alam ghaib dan
telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah
disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu
patuh kepada kami. “
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu
pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya
berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis
untuk tujuan menggoda orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut
itu bertanya kepada ulama palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Iblis merasa gembira
apabila jeratnya mengena.
Lalu berkata ulama’ palsu:“Tunggu, sebentar lagi
dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Ketika tirai dibuka selapis demi selapis tirai
yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat
melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan
bumi.
Berkata Iblis: “Itulah dia Zat Allah yang patut
kita sembah. “
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai
guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai
enam sisi, iaitu benda besar ini ada kiri dan kanannya, mempunyai atas dan
bawah, mempunyai depan dan belakang.
Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk,
sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain
pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku
sembah ialah benda yang besar ini. ”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang
dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan kafir dan
kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di
dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Iblis yang ketujuh ini terdiri dari 72
barisan sebab dari menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati hadis Nabi SAW
bahawa umat Nabi Muhammad akan terbahagi kepada 73 barisan). Satu
barisan/golongan yang benar iaitu ahli sunnah waljamaah, 72 yang lain masuk ke
neraka karena sesat.
Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan
mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlainan di dalam waktu
manusia sakaratul maut.
Oleh kerana itu hendaklah kita mengajarkan
kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin "Laa Ilaaha
Illallah" untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang
akan berusaha bersungguh-sungguh menggoda orang yang sedang dalam sakaratul
maut.
Disebutkan dalam sebuah hadis yang maksudnya :
“Ajarkan oleh kamu (orangyang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu:
Laa Ilaaha Illallah.
Sahabat yang dikasihi,
Memperbanyak mengingat mati bererti memperbanyak
amal kebaikan. Orang yang tidak beramal baik atau dia berbuat kejahatan bererti
dia tidak ingat dirinya akan mati. Imam ad-Daqqaq berkata, "Barangsiapa
memperbanyak mengingat mati, dia dikaruniai tiga perkara: menyegerakan taubat,
hati yang qana'ah, dan semangat beribadah." (Imam al-Qurtubi, al-Tadzkirah
fi Ahwal al-Mauta wa Umuri al-Akhirah).
Jika kita sukar untuk mengamalkan ikhlas atau
tidak mampu mengawal hawa nafsu, maka ketika itu ingat-ingatlah bahawa
bila-bila masa saja kita akan dijemput kematian yang tidak diduga-duga. Jika
perlu kita contohi para ulama dahulu yang memiliki cara tersendiri iaitu ada
yang bertafakkur, muhasabah tentang kematian, ada yang membaca kitab atau hadis
tentang mati atau ada pula yang sekedar melihat kubur (berziarah kubur).
Oleh itu berpada-padalah di dunia ini,
tinggalkan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT seperti berdusta, mengumpat,
memfitnah, mengadu domba, mengambil rasuah, mengamalkan riba dan segala bentuk
amalan dosa dan maksiat. Ingatlah di dunia ini adalah tempat beramal soleh dan
di akhirat adalah tempat balasan dan tempat yang kekal abadi.